Our Latest Updates
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin - November 16, 2023 @ 8:21ambhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyerahkan Skim Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) kepada 22 syarikat produksi membabitkan kos RM1.999 juta.
Menerusi majlis penyampaian ITFC siri kedua bagi tahun ini, syarikat produksi terpilih bagi judul ditayangkan antara 2022 sehingga Ogos 2023.
Penyerahan dilakukan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib kepada syarikat produksi yang berjaya menerbitkan 22 filem cereka ditayangkan di bawah Skim Wajib Tayang di Pawagam Mini P Ramlee, FINAS, Hulu Kelang, kelmarin.
Azmir berkata, ITFC diagihkan sebagai galakkan kepada syarikat produksi untuk menghasilkan lebih banyak filem.
"Ia juga menjadi usaha dan inisiatif berterusan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi FINAS dalam membantu pembangunan industri perfileman menerusi strategi galakan dan insentif kepada pemain industri.
"Objektif ITFC diperkenalkan untuk membantu syarikat produksi menampung serba sedikit kos penerbitan.
"FINAS tahu daripada kutipan tiket kasar diraih sesebuah filem, 25 peratus ditolak untuk duti hiburan kemudian diagihkan pula kepada pawagam dan pengedar.
"Apa yang tinggal kepada penerbit hanyalah antara 30 hingga 40 peratus daripada kutipan kasar jualan tiket, jadi di sinilah kerajaan berasakan bantuan ITFC, walaupun cuma 10 peratus, tetapi sedikit sebanyak dapat menggalakkan produser terus hasilkan filem," katanya kepada BH Online.
Bagaimanapun, Azmir menasihatkan syarikat produksi supaya memanfaatkan insentif dan pelbagai dana diberikan kerajaan seperti Dana Kandungan Digital (DKD), Dana Kenegaraan dan banyak lagi dengan menghasilkan filem berkualiti.
Katanya, kepuasan penonton perlu diutamakan kerana mereka adalah pengguna

Justeru, penonton berhak menentukan filem terbaik untuk ditonton.
"Kita perlu berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan pelbagai bantuan ketika negara diserang pandemik COVID-19 supaya bisnes filem dapat diteruskan.
"Kami lihat banyak filem berlumba-lumba ditayangkan pada masa ini, jadi ia memang satu perkembangan sangat bagus untuk industri.
"Tetapi, lebih bagus sekiranya penerbit dapat hasilkan filem berkualiti. Ini kerana ia babitkan soal pengguna. Jadi kepuasan mereka perlu diutamakan kerana mereka keluar duit," katanya.
Katanya, FINAS bersedia memberi galakkan kepada produser filem untuk memahami 'trend' dan selera penonton agar dapat menghasilkan filem mengikut kehendak pasaran semasa.
"Dengan cara ini, penerbit tempatan dapatlah bersaing secara terbuka dengan pasaran filem antarabangsa," ujarnya.
Pada sesi penyerahan ITFC itu, filem animasi Mechamato terbitan Astro Shaw Sdn Bhd dan Animonsta Studio Sdn Bhd menerima sumbangan insentif paling banyak iaitu RM500,000 berikutan kejayaan filem meraih kutipan box-office RM34 juta, tahun lalu.
Selain Mechamato, filem lain yang menerima pengagihan ITFC ialah Hani, Little Sunshine, Imaginur, Daddyku Gangster, Coast Guard, Gila Gusti, Sawadikap Pei, Adai Mazhai Kaalam, Harum Malam, Duan Nagabogho, Imam, VII XII, Tribesman, Thalli Pogathey, Silence Of The 177, Eva (Take Me As I Am), KK Knockout, Hungry Ghost Diner, Sumpahan Jerunei, Kannera dan Kalluri Rascal.
Filem meraih kutipan kasar RM2 juta dan ke bawah menerima insentif sebanyak 10 peratus daripada kutipan kasar tiket.
Sementara filem meraih kutipan lebih RM2 juta, sebanyak 10 peratus diberikan bagi RM2 juta pertama dan lima peratus bagi kutipan kasar seterusnya.
Maksimum insentif layak diterima adalah RM500,000.
Suntingan daripada (kredit): https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2023/11/1177454/22-syarikat-produksi-terima-insentif-rm19-juta?fbclid=IwAR1dgFlmO8zRk9u5tqOK2ZTaO-nKoQ6VUpeFAxUGExkDIVWiQ2MKnUk_l-g_aem_ATtPKau__g3k4yHONuTrojddrk6_UVOXOD8yknRdx85IkC5ew0mXLoUVQLBBnc0OCZQ#lp0wgay3g79h7ackp7m
