Our Latest Updates

Subang Jaya : Naskhah seni yang memberi fokus kepada penjagaan alam sekitar serta kehidupan marin jarang diketengahkan di layar perak.
Menyedari perkara itu, Produksi Seni 2020 Sdn Bhd mengambil langkah menghasilkan filem bergenre dokumentari berjudul Takdir Akhir: Last Dive yang tidak berkisar mengenai kehidupan laut malah cabaran sekumpulan penyelam, termasuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Inisiatif berkenaan mendapat pujian mantan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Datuk Amirul Azizan Abd Rahim yang menyifatkan karya terbabit memberi inspirasi serta mesej mendalam buat penonton.
"Satu mesej yang sangat bagus disampaikan kepada semua supaya tidak mudah putus asa. Tiada yang mustahil, sama ada di darat mahupun di laut seperti yang dipaparkan menerusi filem ini.
"Ia turut menyampaikan inisiatif pembersihan kawasan perairan negara yang amat berkait rapat dengan aspek kebersihan persekitaran," katanya pada majlis tayangan khas filem berkenaan, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis itu, Penerbit Eksekutif filem berkenaan, Datin Dr Wendy Wong dan Datuk Nancie Foo serta Timbalan Datuk Bandar MBSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali; barisan Ahli Majlis, ketua-ketua jabatan dan warga kerja MBSJ.
Sementara itu, Mohd Zulkurnain merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan produksi filem terbabit atas kejayaan menghasilkan naskhah yang dianggap luar daripada kebiasaan.
Jelasnya, karya itu bukan sahaja memupuk sikap menyayangi ekosistem laut sebagai punca makanan utama, malah mempunyai nilai sentimental tinggi apabila menonjolkan kesungguhan serta keupayaan golongan OKU.
"Kita di Subang Jaya turut menyediakan taman ekslusif kepada golongan ini.
"Paling penting alam sekitar jaga kebersihan ia turut mempunyai kaitan dalam elemen matlamat pembangunan mampan (SDG) oleh MBSJ. Malah kehidupan laut juga penting kerana ia antara punca makanan utama kita," katanya.
Tambahnya, penganjuran tayangan khas ini mencerminkan sokongan terhadap industri kreatif negara serta usaha memperkasakan karya dan produk tempatan di samping menghargai sumbangan penggiat seni dalam pembangunan industri perfileman Malaysia.

Filem ini berkisar kepada seorang bekas pemain bola sepak bernama Faiz yang impiannya musnah selepas terbabit dalam kemalangan langgar lari, serta Amelia seorang jurulatih selam skuba berdedikasi dalam mencipta pengalaman bawah laut yang bermakna untuk golongan orang kurang upaya (OKU).
Pertemuan mereka membawa kepada pendedahan mengejutkan apabila Amelia dan pasukannya mendapati pengemudi bot mereka, Kamal, bukan sahaja terbabit dalam aktiviti mencuri karang dan pengeboman ikan, malah turut mempunyai kaitan dengan kemalangan yang menimpa Faiz.
Dipaksa oleh keadaan, Faiz, Amelia dan pasukan mereka bersatu dalam perjuangan menegakkan keadilan di dasar lautan.
Takdir Akhir: Last Dive bakal ditayangkan tidak lama lagi dibintangi barisan pelakon hebat antaranya Shiqin Kamal, Aniq Durar, Fiffy Azmi, Amerul Affendi, Sandra Lim, serta penampilan istimewa Datuk Dr Ras Adiba Mohd Radzi dan penyanyi popular, Fauziah Latiff.
Disiarkan pada: Julai 28, 2026 @ 6:00pm
Petikan dari: https://www.hmetro.com.my/rap/rapextra/2026/07/1390723/didik-sayang-alam-sekitar-takdir-akhir-last-dive-angkat-cabaran