Our Latest Updates

'Last Dive' bakal gegar Festival Filem Cannes 14 Mei ini

'Last Dive' bakal gegar Festival Filem Cannes 14 Mei ini

Saturday, May 9, 2026

Wan Asrudi Wan Hasanwanasr@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Industri perfileman tanah air terus melakar sejarah di pentas antarabangsa apabila filem yang diilhamkan daripada kisah benar, Last Dive, bakal ditayangkan pada sesi Tayangan Pasaran Perdana sempena Festival Filem Cannes, Perancis pada 14 Mei ini.

Filem yang sarat dengan mesej pemuliharaan lautan dan kelestarian alam sekitar ini menampilkan lakonan Shiqin Kamal, Aniq Durar, Fiffy Azmi, Amerul Affendi, Sandra Lim (bekas Miss Universe Malaysia) serta penampilan istimewa Datuk Dr Ras Adiba Mohd Radzi dan penyanyi Fauziah Latiff.

Filem bergenre dokumentari filem ini berkisar kepada seorang bekas pemain bola sepak bernama Faiz yang impiannya musnah selepas terbabit dalam kemalangan langgar lari, serta Amelia seorang jurulatih selam skuba berdedikasi dalam mencipta pengalaman bawah laut yang bermakna untuk golongan orang kurang upaya (OKU).

Pertemuan mereka membawa kepada pendedahan mengejutkan apabila Amelia dan pasukannya mendapati pengemudi bot mereka, Kamal, bukan sahaja terbabit dalam aktiviti mencuri karang dan pengeboman ikan, malah turut mempunyai kaitan dengan kemalangan yang menimpa Faiz.

Lebih membanggakan, Penerbit Eksekutif filem ini, Datin Dr Wendy Wong, turut diberi penghormatan untuk tampil sebagai penalis dalam sesi perbincangan yang dianjurkan oleh Yayasan Wanita Sedunia.

Memilih tajuk "Behind the Camera, Beyond the Screen: Women Creating Change," Wendy akan berkongsi pentas bersama pengarah dan pelakon juga pemenang anugerah dari Amerika Syarikat, Maria Soccor serta Rupa Dash (Usahawan dan Pembikin Filem India), Aliia Roza (Jurulatih Pempengaruh & Pemerkasaan Wanita Global) dan Keni Silva (Personaliti Media dan Pengarang Desiree Asher).

"Saya amat berbesar hati dapat mewakili Malaysia dalam membincangkan peranan penerbit filem yang semakin berkembang dalam landskap hiburan masa kini," kata Wendy dalam satu kenyataan.

Program Agenda Wanita Dunia ini bakal menghimpunkan lebih 400 delegasi dari 30 negara bagi memperkasa kepimpinan wanita dalam media.

Selain itu, Wendy bersama rakan rapatnya juga Penerbit dan pelakon, Datuk Nancie Foo, turut dijemput menghadiri acara Karpet Merah pada 15 Mei di La Scene des Artistes, yang akan disertai oleh pemimpin budaya global dan tokoh korporat terkemuka, termasuk tetamu kehormat festival berprestij itu.

Lebih membanggakan, Wendy turut menerima jemputan khas ke malam pembukaan Festival Filem Cannes, yang tahun ini menampilkan Jepun sebagai Negara Kehormat.

Penghargaan turut diberikan kepada penaja busana Wendy bagi festival Cannes, Hera Nurul Supardi.

Kejayaan Last Dive serta pembabitan aktif Wendy di Cannes membuktikan bahawa bakat dan karya Malaysia setanding dengan produksi antarabangsa, sekali gus membawa mesej pemuliharaan alam sekitar ke perhatian dunia.

Disiarkan pada: Mei 9, 2026 @ 4:00pm

Search