Our Latest Updates

Nancie, Wendy menang anugerah Penerbit Paling Menyerlah

Nancie, Wendy menang anugerah Penerbit Paling Menyerlah

Friday, November 10, 2023

Najiy Jefrinajiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Filem Sumpahan Jerunei terbitan Produksi Seni 2020 Sdn Bhd yang berjaya meraih 15 anugerah di luar negara kini menerima pengiktirafan pertama di Malaysia di Greatest Award Night 2023 baru-baru ini.

Acara yang julung kali diadakan anjuran MAD Branding Group itu mengangkat dua penerbit daripada Produksi Seni 2020 Sdn Bhd iaitu Datuk Nancie Foo dan Datin Wendy Wong menerusi kategori Penerbit Paling Menyerlah.

Terharu dengan pengiktirafan yang diterima, dua penerbit ini mengaku perasaan menerima anugerah di tanah air sendiri adalah berbeza.

"Setakat ini Sumpahan Jerunei sudah berjaya meraih 15 anugerah di luar negara dan lebih istimewa filem ini mendapat penghargaan dari Malaysia.

"Sudah tentu kami bersyukur dan berterima kasih kepada pihak penganjur kerana menilai filem ini.

"Kejayaan ini bukan hanya disebabkan oleh pengiktirafan yang sudah diraih di luar negara, tetapi mereka menilai terlebih dahulu filem ini sebelum diangkat sebagai pemenang," kata Nancie.

Sebelum ini, filem yang mengangkat adat dan sejarah negeri Sarawak itu menerima trofi bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Anugerah Seni dan Filem Paris pada Mac dan September lalu ia memenangi Filem Cereka Terbaik di Festival Filem Bebas Toronto Kanada.

Sumpahan Jerunei juga mendapat pengiktirafan menerusi empat kategori iaitu Pengarah Terbaik (Jason Chong), Sinematografi Terbaik (Haris Hue Abdullah), Skor Muzik Asal Terbaik (Sharon Paul) dan Penerbit Terbaik (Wendy Wong dan Nancie Foo) di Festival Filem Antarabangsa Florence.

Malah pada Anugerah Sinematografi Eropah ke-8 Oktober lalu, filem itu turut memenangi Pelakon Wanita Terbaik (Uqasha Senrose), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Daiyan Trisha), Pencahayaan Terbaik dan Rekaan Kostum Terbaik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAD Branding Group, Datuk Ben Tan berkata, pemilihan Produksi Seni 2020 dibuat berdasarkan kualiti filem berkenaan selain berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

"Selepas mengambil kira pencapaian luar biasa filem Sumpahan Jerunei di peringkat antarabangsa, kami percaya dua penerbit ini layak menerima trofi Penerbit Paling Menyerlah bagi kategori seni budaya.

"Kami sudah menonton dan berpendapat Sumpahan Jerunei sebuah filem yang bagus, justeru layak diangkat sebagai salah satu penerima trofi," katanya.

Produksi Seni 2020 adalah salah satu daripada 28 penerima trofi pada anugerah itu.

Dalam pada itu, Wendy berkata, syarikat produksinya masih perlu mengeluarkan duit poket sendiri untuk menyertai pasaran dan festival filem luar negara walaupun memperoleh dana daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Senarai pengiktirafan filem Sumpahan Jerunei di luar negara setakat ini.

1. Paris Film Awards– Filem Terbaik

2. Florence Film Awards– Filem Terbaik [Gold Award]– Penerbit Terbaik Wendy Wong & Nancie Foo) [Gold Award]– Pengarah Terbaik (Jason Chong) [Silver Award]– Sinematografid Terbaik (Harris Hue Abdullah) [Silver Award]– Babak Asal Terbaik (Sharon Paul) [Silver Award]

3. Paris Arts & Movies Awards– Pemilihan Rasmi

4. Toronto Independent Film Festival -Penerima Anugerah

5. New York Cinematography Awards–Sinematografi Terbaik(Harris Hue Abdullah)– Aktres Terbaik (Uqasha Senrose)– Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik(Tony Eusoff)

6. European Cinematography Awards– Aktres Terbaik (Uqasha Senrose)– Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Daiyan Trisha)– Rekaan Kostum Terbaik (Jessie Jok See Yeow)– Pencahayaan Filem Terbaik (Vincent Chai)

Disiarkan pada: November 10, 2023 @ 2:19pm

Kredit kepada: https://www.hmetro.com.my/rap/2023/11/1029032/nancie-wendy-menang-anugerah-penerbit-paling-menyerlah

Search