Our Latest Updates

Sumpahan Jerunei tayang, bertanding di Paris

Sumpahan Jerunei tayang, bertanding di Paris

Monday, October 9, 2023

Oleh Farihad Shalla Mahmud - Oktober 9, 2023 @ 1:01pmfarihad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Filem bergenre seram, budaya dan fiksyen, Sumpahan Jerunei terus menerima pengiktirafan antarabangsa apabila terpilih dipertandingkan dan ditayangkan di Paris Art & Movie Award di Paris, Perancis pada Ogos tahun depan.

Penerbit bersama filem, Datin Wendy Wong, berkata pemilihan dibuat berdasarkan keunikan jalan cerita dan elemen seni dipaparkan dalam naskhah terbitan Produksi Seni 2020 Sdn Bhd itu.

"Orang Perancis suka dengan karya memiliki unsur seni. Atas alasan ini, saya dan rakan kongsi, Datuk Nancie Foo mencuba nasib menghantar penyertaan di Paris Art & Movie Award.

"Alhamdulillah, filem arahan Jason Chong ini terpilih untuk ditayangkan, sekali gus dipertandingkan dalam acara yang bakal berlangsung pada Ogos 2024.

Selain berdasarkan rahsia dan misteri di sebalik sejarah, filem Sumpahan Jerunei ini juga mengangkat elemen seni dan budaya menerusi penggunaan 'props', busana dan makanan.

"Dari segi sinematografi juga antara tarikan. Mungkin gabungan elemen inilah membuatkan juri tertarik untuk memilih filem berada dalam senarai pencalonan," katanya kepada BH Online.

Wendy menambah, filem Sumpahan Jerunei bukan sahaja mempertaruhkan aspek kesenian, budaya dan sejarah, malah turut mengetengahkan jalan cerita yang tidak 'klise' seperti kebanyakan filem genre seram lain.

"Sumpahan Jerunei agak berbeza dengan karya seram lain dari segi jalan cerita. Kalau kita lihat, kebanyakan filem seram jalan cerita lebih kurang sama sahaja.

"Biasanya penonton akan disajikan dengan kejadian misteri berlaku dalam sesebuah rumah. Memang ada rasa takut, tapi konsepnya sama sahaja. Ini berlainan dengan jalan cerita filem Sumpahan Jerunei.

"Jalan cerita diperkembangkan dan unsur seram dalam karya ini bukanlah dibuat-buat sekadar menakutkan penonton, tetapi bersebab.

"Kandungannya adalah asli kerana ia dibikin berdasarkan kisah benar," jelas Wendy.

Sumpahan Jerunei yang menampilkan barisan pelakon hebat seperti Bront Palarae, Uqasha Senrose, Amerul Affendi, Syafie Naswip, Daiyan Trisha, Tony Eusoff, Ruminah Sidek dan Yuyun Hikmah ditayangkan pada Julai lalu.

Mengulas perancangan menayangkan filem di platform penstriman selepas naskhah mendapat tempat di peringkat antarabangsa, Wendy berkata, perkara itu sudah dibincangkan.

"Jujurnya, sebelum ditayangkan lagi kami sudah mendapat tawaran daripada pelbagai platform penstriman yang berminat membeli filem ini.

"Cuma, kami tak boleh nak kongsi banyak mengenai perkara ini kerana ia masih dalam peringkat rundingan.

"Bagaimanapun, saya dan Nancie bersyukur kerana filem ini mendapat perhatian penggiat industri perfileman di luar negara.

"Sebelum ini, kami banyak menyertai festival filem di Eropah, tetapi peluang akan diperluaskan lagi dengan penyertaan di festival filem dan tembusi pasaran di Amerika Syarikat (AS).

"Menurut ejen, walaupun sekadar menonton trailer, namun kebanyakan pengedar menunjukkan minat dan ini juga satu peluang baik untuk filem Sumpahan Jerunei ini terus mencipta sejarah di peringkat global," ujarnya dalam nada teruja.

Terdahulu, Sumpahan Jerunei yang mendapat pengiktirafan di peringkat global apabila berjaya memenangi enam trofi di Florence Film Awards, Itali dan Paris Film Awards, Perancis.

Lima anugerah diterima membabitkan kategori Filem Cereka Terbaik, Pengarah Terbaik (Jason Chong), Sinematografi Terbaik (Haris Hue Abdullah), Muzik Skor Asal Terbaik (Sharon Paul) dan Penerbit Terbaik (Wendy Wong dan Nancie Foo), manakala satu lagi anugerah menerusi kategori Filem Cereka Terbaik dimenangi di Paris Film Awards pada Mac lalu.

Suntingan dari: https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2023/10/1162691/sumpahan-jerunei-tayang-bertanding-di-paris

Search