Our Latest Updates

Takdir Akhir: Last Dive perkasa semangat penyelam OKU

Takdir Akhir: Last Dive perkasa semangat penyelam OKU

Thursday, July 30, 2026

Oleh Farihad Shalla Mahmud - Julai 30, 2026 @ 9:00am

KUALA LUMPUR: Kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar dan kelestarian ekosistem marin menjadi teras filem Takdir Akhir: Last Dive yang turut mengetengahkan semangat luar biasa golongan Orang Kurang Upaya (OKU) mengatasi cabaran untuk menikmati keindahan dunia bawah laut.

Diterbitkan Produksi Seni 2020 Sdn Bhd, filem itu menampilkan kisah sekumpulan penyelam, termasuk OKU, sekali gus membawa mesej mengenai kepentingan memelihara alam sekitar dan menghargai keupayaan insan tanpa mengira kekurangan fizikal.

Inisiatif berkenaan mendapat pujian mantan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Datuk Amirul Azizan Abd Rahim yang menyifatkan karya itu sarat dengan mesej inspirasi dan pendidikan.

"Satu mesej yang sangat baik disampaikan supaya kita tidak mudah berputus asa. Tiada yang mustahil sama ada di darat mahupun di laut seperti dipaparkan menerusi dokumentari ini.

"Ia juga mengetengahkan usaha pembersihan kawasan perairan negara yang berkait rapat dengan kebersihan dan kelestarian alam sekitar," katanya pada majlis tayangan tertutup filem itu di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Mohd Zulkurnain merakamkan penghargaan kepada pasukan produksi kerana berjaya menghasilkan naskhah yang bukan sahaja menghiburkan, malah menyemai kesedaran mengenai kepentingan memelihara ekosistem laut.

Katanya, karya itu selari dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang memberi penekanan terhadap pemeliharaan kehidupan marin.

"Paling penting, dokumentari ini mempunyai nilai sentimental tinggi apabila menampilkan kesungguhan serta keupayaan golongan OKU.

"Menerusi elemen SDG yang menjadi agenda MBSJ, kehidupan marin adalah antara aspek penting yang perlu dipelihara bersama," katanya.

Beliau berkata, MBSJ juga merancang kerjasama berterusan bagi mempromosikan dokumentari itu, selain berhasrat membawanya kepada ahli Yayasan Anak Istimewa Selangor (YANIS).

Sarat dengan mesej pemuliharaan lautan, Takdir Akhir: Last Dive mengisahkan Faiz, bekas pemain bola sepak yang lumpuh akibat kemalangan langgar lari serta Amelia, jurulatih selam skuba yang komited membantu golongan OKU merasai pengalaman menyelam.

Konflik bermula apabila pengemudi bot mereka, Kamal, didedahkan terbabit dalam kegiatan bom ikan dan pencurian karang, selain mempunyai kaitan dengan tragedi yang mengubah kehidupan Faiz.

Filem yang bakal ditayangkan tidak lama lagi itu dibintangi Shiqin Kamal, Aniq Durar, Fify Azmi, Amerul Affendi dan Sandra Lim, selain penampilan istimewa Datuk Dr Ras Adiba Mohd Radzi serta penyanyi Fauziah Latiff.

Berita lanjut di: https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2026/07/1595263/takdir-akhir-last-dive-perkasa-semangat-penyelam-oku

Search